Wednesday, August 31, 2005

dah karat la ni...

alamak. hari ni terpaksa ber-belog (perkataan ciptaan vincent) dalam bahasa malaysia!

setelah menghabiskan dua tahun di singapura, saya haruslah mengakui bahawa kebolehan saya menulis atau bertutur dalam bahasa malaysia telah merosot dengan teruk sekali. seperti yang biasa dikatakan oleh generasi muda: saya dah berkarat.

ini memanglah terbukti pada bulan januari tahun ni, apabila saya mengambil jawatan guru ganti di sekolah menengah saya dulu. saya telah mencuba untuk mengajar dalam bahasa malaysia. semasa kelas itu dilangsungkan, seorang pelajar telah mengangkat tangannya dan mengemukakan permintaan supaya saya mengajar dalam bahasa inggeris kerana bahasa malaysia saya teruk sangat.

malu betul.

walaupun begitu, hari ni merupakan hari kemerdekaan negara tercinta saya yang ke-48, dan sempena hari ni, banyak orang dari komuniti belog telah bersetuju untuk menulis karangan dalam bahasa malaysia.

sebenarnya saya telah menulis satu karangan tentang realisasi saya sendiri bahawa saya sebenarnya adalah seorang yang suka bersendirian. tapi, memandangkan kebanyakan pem-belog telah menulis sesuatu berunsur kenegaraan, saya juga turut serta.

seperti yang telah ditulis dalam karangan lepas saya, saya tak begitu menghiraukan perayaan hari kemerdekaan. sikap acuh tak acuh saya ni dapatlah dipersalahkan atas sistem pendidikan kita yang hanya memberi fakta sahaja dan berharap fakta yang sikit itu dapat menanam nilai cinta kepada negara (hah! saya masih dapat ingat nilai-nilai moral!).

walau bagaimanapun, saya masih mencintai negara saya kerana di negara ni lah saya telah membesar. dah biasa dengan sistem pendidikan di sini, biasa dengan makanan, biasa dengan cuaca, biasa dengan sistem politik yang kian hari kian teruk...yang baik, yang buruk, semua dah biasalah.

saya paling benci orang yang suka mencaci negara saya dan membuat generalisasi tentang rakyat malaysia.

memanglah bandar saya ni tak begitu selamat (minggu lepas kawanku hampir menjadi mangsa pencuri rampas), sistem pengangkutan pun tak sehebat sesetengah negara, dan ekonomi pun tak terbahagi dengan adil sesama rakyat, tapi itulah masalah kami dan bukannya tempat orang luar untuk membuat komen.

kalau orang luar ada masalah dengan negara saya...berambuslah!

macam tony cottee, pemain bola sepak selangor dulu. tak tau la dia. dulu wira pasukan selangor, tapi bila dia nak meninggalkan malaysia barulah dia melahirkan segala ketakpuasaan tentang rakan sepasukannya yang bangun awal untuk bersembahyang, makanan yang pedas dan rungutan lain yang tak masuk akal betul. cis!

anyway, sekarang dia seorang pengkomen bola sepak untuk espn. setelah gagal bermain dengan baik untuk leceister city. hah.

okei, dah terkeluar topik.

apa yang saya mahu cakap ialah...walaupun malaysia memang mempunyai banyak kelemahan, ia masih satu negara yang baik. dan semua rakan saya yang melanjutkan pelajaran di luar negara pun merindui tempat ni.

kelemahan semua ke, ketidakadilan ke...semuanya dapat diatasi sekiranya kita mempunyai pemikiran yang positif dan menggalakkan. itu barulah perbezaan antara rakyat atau orang asing yang asyik merungut saja dan orang yang akan memajukan sendiri sambil memajukan negara malaysia.

saya tau karangan ini memanglah tak begitu menarik, tapi inilah sebaiknya saya dapat tulis. bahasa malaysia saya dah teruk berkarat.

haraplah saudara dan saudari dapat memaafkan saya.

akhir sekali...

selamat menyambut hari kemerdekaan malaysia ke-48! dah tua, negara ni. haha. kepada pem-belog sekalian: selamat ber-belog dalam bahasa malaysia!

sekian, terima kasih.

*nota: saya perlulah memberi penghargaan istimewa kepada kamus dwibahasa oxford-fajar edisi ketiga kerana telah banyak membantu dalam penulisan karangan ini. haha.

lishun at 2:27 PM

|